Diterbitkan 21 April 2026

Sistem baru pekerja asing: KDN beri pandangan lepas dibawa ke kabinet

Diterbitkan: Apr 21, 2026 1:21 PM

002

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan pandangan berhubung cadangan penggunaan sistem pengurusan pekerja asing baru, dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), apabila dibawa ke mesyuarat kabinet.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya belum membuat keputusan setakat ini dan hanya akan memberi maklum balas rasmi dalam forum berkenaan.

“Apabila perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat jemaah menteri, KDN akan memberikan pandangan pada ketika itu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Sebuah Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin mengulas pertanyaan sama ada KDN bersetuju dengan penggunaan sistem Turap, susulan perancangan kerajaan untuk menggantikan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (FWCMS) dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).